Amanah Menghambatku
Bingkisan kali ini lebih kepada peringatan kepada diri ini. Terimbau terngiang-ngiang saat itu. kata-kata ini bergema memenuhi runag dewan pada pagi itu,
"Untuk jawatan......... disandang oleh ....................................".
Tika itu semua mata memandang ke depan mencari-cari pemilik nama yang disebalik namanya bererti 'kegembiraan'. Orang lain kelihatan gembira, tetapi tidak pada pemilik nama itu. Debar dihatinya hanya pemilik hati ini yang Maha Mengetahui. Melangkah kaki tanpa sikit pun menoleh kiri kanan hanya mata tertumpu melangkah ke depan.
Saat itu hanya Allah mengerti betapa hati ini berbaur rasa. Ini jalan yang dipilih. Tiada lagi istilah mengundur atau turning back mahupun U-Turn . Yang ada hanya satu iaitu mengalas tanggungjawab hingga ke akhir mercu. Pada awal, berdiri di depan ramai umat manusia pertama-tamanya tentu berasa gemuruh, namun lama kelamaan jika perasaan itu dilontar jauh pasti kegusaran itu dapat diatasi dengan mudah. Semuanya bermula dengan 'mind setting' kita sendiri.
Ya, mind setting'. Boleh kita ambil umpama seorang yang demam, bila demamnya itu diberat-beratkannya, mukanya dipermuram-muramkan nescaya demam akan bertambah tetapi kalau dilawannya dengan berkata "Ah, aku tidak demam", dengan sendirinya demam itu beransur hilang sebelum pun sempat menjadi berat.
Begitu juga seorang pengecut, cubalah lawan perangai itu walaupun hati berdebar-debar. Jalankan akal, apa sebabnya saya takut begini? Mula-mula pastinya jantung berdebar tika cuba memberani-beranikan diri tetapi nanti setelah menjadi kebiasaan debar jantung itu akan hilang sendiri.
Jika hendak melatih diri agar punya keberanian sengajakan diri menempuh bahaya yang ngeri seperti mengukur hebatnya seorang pelayar lihatlah lautan yang dilalui, ditempuhnya lautan ketika ombak dan gelombang besar maka tentu berani itu dalam kalbunya.
Jangan Bermegah, Laksana Amanah
"Amboi dah jadi exco sekarang dah mula berlagak ye. Bangga, sombong, ujub ......" Antara lafaz kata seorang pensyarah kepada diriku dengan niat gurauan.
Namun di sebalik gurauan itu memberi makna tersirat yang menyentak pemikiran lalu menyentuh kalbuku. Itu bukan sekadar gurauan tetapi berupa peringatan. Sifat ujub bangga antara sifat yang merosakkan bukan sahaja hati tapi seluruh kehidupan pengamalnya.
Merasa puas diri sendiri.
Disangka diri sudah sangat cukup dan sempurna. Perangai begini membawa lupa akan kekurangan diri dan ingat akan kekurangan orang lain. Janganlah sifat ujub ini menjalar ke dalam diri, menyangka bahawa segala sesuatu tidak akan sempurna kalau kita tiada. Sebab kita itu pun tidak akan sempurna kalau tidak dengan orang lain. Keutamaan tidak cukup diberikan Allah kepada satu orang tetapi berbagi-bagi.
Laksana kita ingin memasak makanan yang lazat tidak akan berasa jika cili hanya membanggakan pedasnya, garam membanggakan masinnya, cuka yang membanggakan masamnya, ikan yang membanggakan enaknya sendiri. Jika segala kepedasan, kemasinan, kemasaman, dan keenakan itu dikumpulkan dalam satu belanga, dimasak dengan tangan yang ahli, barulah menjadi makanan yang menjilat jari.
Hamparan Harapan, Emasnya Ikhlas
Bila bercerita mengenai harapan, teringat pula bait-bait lagu yang menjadi halwa telinga sekitar 80-an "Harapan setinggi gunung". Jika diselami maksud bait lirik itu tentunya tinggi harapan orang itu. Masakan tidak tinggi jika telah disamakan harapan dengan gunung. Hendak mendaki gunung perlu keringat yang memecah peluh hingga baju terpaksa kita perah.
Harapan orang tentunya menggunung pada pemegang tangungjawab tetapi lebih berat lagi bahu yang menggalasnya. Memberi harapan pastinya sedikit sebanyak akan terikat dengan janji. Resmi manusia, mengikat janji mudah sekali tetapi memantri kata untuk dikota payah sekali umpamanya bila sebelum kita mendapat duit, janji itu ini, pada kawan dijanji mahu belanja makan, pada emak berkira-kira mahu menghulur beberapa keping not, itu ini mahu dibeli tetapi bila mana duit digenggami disimpan kemas dalam peti. Melupakan semua janji yang kita taburi, sudahnya airmata yang menjadi galang ganti. Itu dikira masih baik lagi, jika dihambur caci maki tentulah lagi menyakitkan hati, alamatnya hingga nafas terakhir perasaan bersalah membaluti diri.
Memikul jawatan ini diri tidak menabur janji apatah lagi menghamparkan harapan. Hanya satu menjadi pegangan, melakukan semua ini dengan ikhlas. Mahu mengikhlaskan hati ini ibarat emas murni, tidak bercampur perak berapa persen pun. Pekerjaan yang bersih terhadap sesuatu, bernama ikhlas.
Misalannya seorang yang berkerja kerana mengharapkan puji majikan, maka ikhlas amalnya kepada majikannya atau dia bekerja pagi sampai ke petang kerana semata-mata memikirkan upah, maka keikhlasannya kepada perutnya. Pekerjaannya itu baik tetapi belum tentu baik jika dasarnya tidak subur.
Dasarnya itu akan baik dari zat sampai ke sifatnya jika didasarkan kepada lillah hi ta'ala iaitu ikhlas kerana Allah. Oleh sebab itu, perkataan ikhlas itu terpakai terhadap Allah semata-mata. Sesuai lidah dan hati, itulah ikhlas! lain di mulut lain di hati, bukanlah ikhlas tetapi culas.
"Jangan terpedaya oleh seorang ahli pidato, lantaran pidatonya
Sebelum kelihatan bukti pada perbuatannya
Kerana perkataan itu sumbernya ialah hati
Lidah hanya dijadikan sebagai tanda dari hati".
- Artikel iluvislam.com
No comments:
Post a Comment