Wednesday, May 8, 2013

Sinar Harian : Pemerintahan Islam perlu dipertahan



SESIAPA yang mengaku beraqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah  hendaklah dia ketahui bahawa antara perkara yang dibahaskan oleh ulama muktabar di kalangan Ahli Sunnah berkaitan hal aqidah adalah hal ketaatan pada pemerintah Islam. Seluruh para ulama ini mereka memasukkan perbahasan ketaatan pada pemerintah Islam dalam bab aqidah dan usul bukan bab furuk atau fiqh.

Kepada yang pernah membaca kitab aqidah karangan ulama Ahli Sunnah wal Jamaah seperti kitab Usul as-Sunnah karya Imam Ahmad bin Hanbal, kitab as-Syariah karya Imam al-Ajuri, kitab Syarhus Sunnah karya Imam al-Barbahari pasti akan bertemu dengan banyak peringatan mereka agar mentaati pemerintah Islam, bersatu dengan mereka dan bersama-sama dengan mereka dalam hal kebaikan dan haram menukar, menjatuhkan, atau menentang pemerintah Islam yang sah.

Apakah takrif sesebuah negara  itu dikira sebagai Islam? Para ulama menggariskan bahawa sesebuah negara Islam itu pemerintahnya seorang Islam yang menunaikan solat, terdapat laungan azan, didirikan solat jemaah, solat Jumaat dan solat dua hari raya. Selagi mana hal ini dizahirkan dalam sesebuah negara itu, ia dikatakan negara Islam.

Kerajaan Islam dipertahankan

Kita ingin bertanya kepada para pembaca dan jawablah di dalam hati kalian dengan ikhlas. Apakah pemerintah kita sekarang seorang yang beragama Islam? Apakah pemerintah kita masih solat? Apakah syiar-syiar  Islam yang digariskan oleh ulama Ahli Sunnah tersebut seperti laungan azan, solat berjemaah, solat  Jumaat dan solat dua hari raya masih berlaku? Dan apakah segala kemudahan dan sarana untuk melaksanakan rukun-rukun dan hukum agama dalam negara ini seperti  masjid, institusi zakat, institusi haji disediakan?

Pasti kita menjawab  ya. Maka telah terang lagi bersuluh bahawa negara kita adalah sebuah negara Islam dan pemerintahnya pun Islam. Maka menjadi kewajipan pada kita untuk mempertahankannya sesuai dengan apa yang dituntut oleh Islam, dan tiada alasan bagi kita untuk menukar kerajaan sedia ada  dengan kerajaan yang tidak pasti lagi pun yang akan meneruskan dasar Islami ini.

Islam mengajar kita seperti kaedah Usul Fiqh ‘sesuatu keyakinan itu tidak boleh dihilangkan dengan keraguan( tak pasti)’. Jelas kerajaan dan pemerintah sedia ada pada hari ini telah pasti keislamannya. Maka ia bersifat ‘yakin’ yang perlu dipertahankan.

Ada pun perasaan dan sangkaan bahawa jika kerajaan atau pemerintah baru  yang naik setelah dijatuhkan pemerintah sedia ada akan lebih Islami dan lebih baik merupakan sesuatu yang ‘syak’ (ragu) dan tidak dapat dipastikan lagi melainkan ianya hanya sebuah sangkaan dan prasangka semata-mata . Cara faham dan fikir seperti ini menyelisihi banyak kaedah Usul Fiqh  termasuk yang kita berikan contoh di atas.

Tiada istilah tukar kerajaan

Di dalam Islam tiada istilah menukar pemerintah atau menjatuhkan mereka. Tidak kiralah apa-apa sekalipun alasannya. Apa yang sering kita dengar seperti slogan pemerintah zalim, pemerintah tak adil, pemerintah melakukan maksiat, pemerintah ambil wang rakyat, pemerintah tidak melaksanakan hukum ALLAH atau apa pun slogan-slogan yang membawa kepada maksud memburukkan pemerintah Islam dengan tujuan menjatuhkan mereka sama sekali tidak dibenarkan syarak.

Jika kita melihat ke belakang melalui catatan sejarah Islam, bagaimana sesebuah pemerintah Islam di sesebuah negara Islam dulu dijatuhkan. Lihat khalifah Islam yang ketiga Saidina Uthman bin Affan seorang khalifah Islam di kalangan sahabat Nabi dan dijamin syurga telah dibunuh oleh rakyatnya sendiri dengan mengatakan Uthman nepotisme, korupsi  dengan mengambil harta negara dan tidak menegakkan keadilan. Akhirnya, Uthman dibunuh di rumahnya sendiri.

Tidak terlepas juga kisah khalifah Islam yang keempat Saidina Ali bin Abi Talib yang dibunuh oleh rakyatnya yang warak bernama Abdul Rahman bin Muljam. Alasannya adalah kerana Saidina Ali tidak melaksanakan hukum ALLAH. Dan banyak lagi deretan kisah bagaimana sesebuah kerajaan Islam dan pemerintahnya dijatuhkan dengan aksi keganasan dan pembunuhan di atas slogan-slogan ini yang berjaya mempengaruhi minda orang awam untuk bersama mereka menentang, menjatuhkan sekali gus memerangi pemerintah mereka.

Kaum Khawarij dan sifatnya

Kenapakah hal ini boleh terjadi? Jika kita melihat perbahasan ulama ke atas umat-umat Islam yang suka menjatuhkan pemerintah mereka sendiri kerana semangat agama tidak berlandas dengan ilmu Islam yang sebenar sejajar dengan kefahaman sahabat dan Solafus Soleh.

Ulama mengatakan, golongan ini dikenali sebagai kaum Khawarij. Kaum Khawarij ini adalah orang Islam tetapi mereka menganut fahaman aqidah Khawarij yang suka mengkafirkan orang Islam lain yang melakukan dosa besar.
Hadis Nabi mengatakan 73 umatnya  akan berpecah hanya satu yang selamat, salah satu dari 72 golongan yang disebutkan oleh Nabi adalah kaum Khawarij. Kaum Khawarij ini dikhabarkan oleh Nabi dan ulama Salafus Soleh akan wujud sampai kiamat, mereka akan memusuhi sesama Islam dan berbaik-baik dengan orang kafir.   

Khawarij gaya baru dan undi

Cuma pada hari ini terdapat sebahagian kaum Muslimin hendak menafikan kewujudan fahaman Khawarij ini dengan beralasan bahawa tiada sesiapa yang hendak menjatuhkan pemerintah Islam, tiada siapa yang memerangi dan membunuh pemerintah Islam dan mereka mengatakan pula apa yang kami mahu adalah menukar kerajaan dengan cara demokrasi melalui undi.

Perlu difahamkan inilah antara syubhah penganut yang terkena pemikiran Khawarij, mereka menyangka bahawa menukar kerajaan dengan cara undi tidak tergolong dalam fahaman Khawarij, hal ini sama sekali salah faham yang perlu dibetulkan dan dijelaskan.

Memang kaum Khawarij dahulu menjatuhkan dan menukar pemerintah Islam dengan cara peperangan melalui mata pedang. Tetapi Khawarij moden yakni Khawarij gaya baru pada hari ini mereka menjatuhkan pemerintah Islam melalui mata pena dengan berusaha mengundi selain pemerintahan  sedia ada dengan niat dan harapan agar pemerintah Islam itu dapat dijatuhkan dengan undi.

Undi adalah satu kaedah demokrasi untuk menjatuhkan pemerintah. Jika kita memahami  aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang tidak membenarkan menjatuhkan pemerintah walau dengan apa sekalipun alasannya nescaya kita akan mengetahui bahawa undi yang boleh menyebabkan sesebuah kerajaan itu jatuh dan bertukar pemerintahnya termasuk hal yang dilarang syarak . Dan jika kita mengundi pemerintah Islam di atas kefahaman pemerintah Islam itu perlu dipertahankan insya-ALLAH kita tergolong dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Kalimah Ahli Sunnah Wal Jamaah itu sendiri pun dipilih oleh para ulama Ahli Sunnah bagi membezakan dua firqah sesat yang utama. Kalimah ‘sunnah’ untuk membezakan dengan kaum Syiah yang sentiasa menyelisihi sunnah Nabi dan sahabat. Manakala kalimah ‘jamaah’  untuk membezakan kaum Khawarij yang sentiasa menentang pemerintah Islam yang sah.

Marilah kita bermuhasabah, kerana ayat al-Quran, hadis Nabi SAW dan perbahasan para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak boleh dipatahkan hujahnya dengan perkataan “inikan demokrasi” kita bebas membuat pilihan di atas hak kita. Perkataan ini juga tidak menepati syarak kerana hal dalam mentaati dan mempertahankan pemerintah Islam bukanlah pilihan yang boleh kita pilih seperti memilih pakaian dan makanan. Mempertahankan pemerintah Islam wajib ke atas semua walaupun dengan undi.

Mengatakan undi adalah rahsia hanyalah bahasa demokrasi yang tiada asas dalam Islam, padahal Islam menyuruh kita menzahirkan kebersamaan dengan pemerintah Islam, membantu mereka dan mempertahankan mereka.

Nasihat saya kepada pembaca dan kita yang mengaku beriltizam dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang akan turun mengundi pada hari Ahad ini, tiada pilihan bagi kita dalam mempertahankan pemerintah Islam pada hari ini dengan cara mengundi parti pemerintah dan kerajaan supaya kita tergolong dalam orang-orang Islam yang mahu mempertahankan pemerintahan Islam seperti telah diajarkan oleh ALLAH, Rasulullah  dan Salafus Soleh.

Wallahu a’lam





No comments:

TRAVELOG : Singapura to Singapore 2018 day 2

bagi gambo dulu menjadiklah plan nak masuk spore sekali lagi sbb ada supir a.k.a profesional photog nak bawak kitorang berj...